Diyana Rahim

5 Cara Anda Boleh Jimat Duit Ketika Ramadhan 2020

Bulan Ramadhan ini bulan yang mulia bagi umat Islam. Kita digalakkan untuk meninggalkan tabiat buruk dan mengasahkan tabiat baik. Salah satu tabiat baik ialah berjimat cermat dan bertanggungjawab dari segi kewangan. Jadi, bagaimanakah anda boleh jimat lebih bulan Ramadhan tahun ini?

1. Ikuti Bajet Bulanan

Bulan mulia ini hanya berbeza dengan bulan lain dari segi tabiat berpuasa setiap hari dari subuh hingga maghrib. Perkara lain seperti bajet masih sama. Jika anda mengikuti "50/30/20 budget rule", anda harus pastikan bahawa:

  • 50% wang pendapatan digunakan untuk "keperluan"
  • 30% wang pendapatan diagihkan untuk "keinginan"
  • 20% wang pendapatan disimpan untuk "matlamat"

Bajet kewangan ini adalah garis panduan supaya anda tidak berbelanja lebih daripada kemampuan dan seterusnya jimat pada bulan Ramadhan.

Dalam situasi coronavirus ini di mana jarak sosial dipraktikkan, anda mungkin tak berbelanja banyak dan boleh jimat wang lebih. Walau sedemikian, anda masih perlu cermat dengan wang anda kerana keadaan masih tidak tentu. Kami cadangkan anda simpan duit yang tak dibelanjakan ke dalam akaun simpanan atau meletakkannya ke dalam akaun yang berhutang. Lagi cepat anda selesaikan hutang, lagi cepat anda capai kebebasan kewangan.

2. Hadkan Online Shopping

Anda mungkin jarang berbelanja secara fizikal pada bulan Ramadhan ini. Namun, masih terdapat godaan untuk berbelanja secara online. Anda mungkin terlihat baju baru yang dikeluarkan oleh brand kegemaran anda dan teringin nak beli untuk raya nanti. Tapi tunggu! Adakah anda betul-betul memerlukan baju baru? Seringkali kita sebenarnya tak perlukan barangan baru sebab baju lama masih cantik dan boleh digunakan.

Jadi, kita perlu melawan nafsu sebaik mungkin dalam bulan Ramadhan ini, termasuk nafsu untuk online shopping yang tak berpatutan.

3. Buka Puasa Tak Perlu Mahal

Ramai yang menganggap waktu buka puasa adalah satu majlis besar yang perlu disambut setiap malam. Ia adalah seperti ganjaran setelah berpuasa satu hari. Sebenarnya konsep ini tak berapa betul. Ya, kita harus berbuka puasa dengan hidangan halal tetapi tak wajib untuk berbuka puasa dengan hidangan mahal.

Jika memasak, pastikan anda tak beli bahan-bahan lebih. Terhadkan pembelian bahan untuk satu minggu sahaja. Jika anda beli makanan dari luar termasuk GrabFood, pastikan anda anggarkan jumlah yang mencukupi untuk malam itu sahaja. Kami faham bahawa kita mungkin beli lebih sebab rasa sangat lapar. Tapi realitinya, perut kita tak perlukan makanan yang begitu banyak.

Bagaimana pula dengan majlis buka puasa?

Jika anda tuan/puan rumah, pastikan anda mempunyai anggaran tetamu yang dijangkakan supaya tak order catering yang lebih. Jika ada makanan lebih, pastikan anda simpan untuk hari seterusnya ataupun sedekahkan kepada mereka yang memerlukan.

4. Hadkan Perbelanjaan Untuk Raya

3 perkara utama yang kita selalu belanja untuk raya adalah:

  • baju raya
  • majlis raya
  • balik kampung

Tak salah bila kita berbelanja untuk raya. Biasanya kita berbelanja untuk mengetatkan silaturahim dalam masyarakat. Contohnya, kita mengadakan majlis hari raya untuk saudara-mara ataupun berbelanja untuk balik kampung jumpa atuk nenek.

Jadi apa yang kita patut buat ialah memastikan apa itu keperluan dan keinginan. Adakah perlu untuk kita order catering yang berlebihan? Adakah perlu untuk kita beli baju raya mahal yang hanya digunakan sekali setahun? Bukankah lebih jimat jika kita guna balik baju raya yang masih cantik dan bersih?

Apa-apa pun, pastikan anda tak berbelanja lebih atau luar bajet kewangan anda dan sentiasa berfikiran jimat cermat. Jika tak mampu, lebih baik tak berbelanja daripada berhutang.

5. Pentingkan Zakat Fitrah

Jika anda mempunyai wang lebih bulan Ramadhan ini, lebih baik anda dermakan wang tersebut. Pastikan anda membayar zakat fitrah yang halal untuk membantu mereka yang miskin atau dalam kesusahan.

Dalam situasi coronavirus ini, ramai yang mungkin tak mempunyai wang yang mencukupi untuk membuka puasa dengan makanan yang sihat dan mencukupi. Jika mampu, anda boleh sisakan wang anda untuk menolong golongan yang memerlukan ini. Anda boleh derma kepada Kechara Soup Kitchen atau Charity Right Malaysia.

Jimat Wang, Selesaikan Hutang

Kini masanya untuk anda kurangkan perbelanjaan dan jimat wang. Dengan wang tersebut, anda boleh letakkan dalam akaun simpanan ataupun dana kecemasan. Jika anda ada hutang tertunggak, pastikan anda kumpulkan dana untuk melunaskan hutang tersebut. Hutang perlulah diselesaikan secepat mungkin supaya tidak membebankan hidup anda mahupun keluarga tersayang.

Jika anda ingin pertolongan dari segi penyelesaian hutang, kami di amalan sudi bantu. Kami adalah syarikat pengurusan hutang swasta yang boleh mewakili anda untuk berunding dengan pihak pemberi pinjaman untuk menstruktur semula hutang ataupun mendapatkan diskaun. Hubungi kami untuk info lanjut!