Kebaikan Penyatuan Hutang Untuk Selesaikan Pinjaman Peribadi & Hutang Kad Kredit
Frans
Setiap pinjaman ada kadar faedahnya serta ansuran bulanan yang perlu dibayar. Kadang-kadang susah nak pastikan semuanya dibayar balik. Ada masanya anda rasa keberatan sebab kadar faedah sesuatu pinjaman adalah sangat tinggi. Jadi anda terfikir-fikir, “adakah berbaloi jika saya satukan semua hutang pinjaman peribadi dan kad kredit?”
Apakah Itu Penyatuan Hutang?
Terdapat beberapa cara untuk anda menyelesaikan hutang. Anda boleh selesaikan satu persatu seperti Strategi Avalanche yang mementingkan kadar faedah yang tertinggi terlebih dahulu. Ataupun anda boleh satukan semua hutang dengan satu bayaran ansuran sahaja. Caranya adalah mengambil pinjaman peribadi untuk menyelesaikan beberapa hutang lain. Ini bermakna anda hanya perlu bayar balik satu jenis pinjaman yang bakal mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan.
Bila Masa Sesuai Untuk Menyatukan Hutang
Jika anda seorang yang terbeban dengan pelbagai jenis hutang ataupun sering terlepas bayaran ansuran bulanan, mungkin tiba masanya untuk memohon perkhidmatan penyatuan hutang. Bak kata pepatah Inggeris, “It’s never too late”.
Kebaikan Penyatuan Hutang
Rakyat yang inginkan perkhidmatan penyatuan hutang biasanya bermatlamat untuk meringankan beban hutang serta meningkatkan kesihatan kewangan. Antara kebaikan penyatuan hutang adalah seperti berikut:
1. Satu bayaran balik hutang sahaja
Setelah anda memilih pinjaman peribadi yang boleh menyatukan dan menyelesaikan segala jenis hutang semasa, anda hanya perlu fokus kepada satu bayaran ansuran sahaja. Ini menjadikan proses penyelesaian hutang lebih mudah.
2. Ansuran bulanan lebih rendah
Anda boleh mendapatkan pelan penyatuan hutang yang ansuran bulanannya lebih rendah daripada kesemua jenis hutang semasa anda. Ini meringankan komitmen kewangan anda dan memudahkan proses penyelesaian hutang.
3. Jimat kadar faedah
Daripada membayar pelbagai jenis hutang dengan kadar faedah berlainan, anda hanya perlu bayar satu hutang dengan satu kadar faedah tetap. Dengan penyatuan hutang, kadar faedah boleh jadi lebih rendah daripada gabungan kadar faedah pelbagai jenis hutang sedia ada.
Keburukan Penyatuan Hutang
Walaupun penyatuan hutang mempunyai banyak kebaikan dan memang meringankan beban hutang, anda juga perlu pertimbangkan faktor-faktor berikut:
1. Tempoh bayaran panjang
Apabila mengambil pinjaman peribadi untuk menyatukan semua hutang, ansuran bulanan boleh dijadikan lebih rendah daripada apa yang anda biasa bayar. Tetapi ini bermakna tempoh pembayaran balik hutang akan jadi lebih panjang.
2. Tidak menghapuskan hutang
Penyatuan hutang tidak bermakna hutang anda terus selesai. Ia hanya bermakna hutang-hutang anda diselesaikan dengan pengambilan pinjaman peribadi baru. Walaupun pinjaman tersebut mempunyai ansuran bulanan atau kadar faedah lebih rendah, anda masih perlu bayar balik hutang tersebut.
3. Kemungkinan permohonan ditolak
Ada kalanya apabila anda telah buat permohonan untuk penyatuan hutang, permohonan tersebut ditolak. Hal ini bergantung kepada skor kredit atau kesihatan kewangan anda. Jadi, anda perlu tahu cara betul untuk melaksanakan permohonan penyatuan hutang serta memastikan skor kredit yang memuaskan untuk mengelakkan kegagalan dalam permohonan anda. Jika anda ingin menyemak skor kredit sebelum melaksanakan sebarang pinjaman, anda boleh dapatkan laporan CTOS atau CCRIS.
Cara Mudah Memohon Penyatuan Hutang
Biasanya rakyat boleh memohon melalui bank setelah melaksanakan kaji selidik pelan penyatuan hutang yang paling baik untuk mereka. Namun, proses ini mungkin mengelirukan dan mengambil masa yang panjang. Dalam hal penyelesaian hutang, masa itu emas. Jadi, lebih baik jika anda daftar dengan syarikat pengurusan hutang seperti amalan untuk memudahkan proses penyelesaian hutang.